Friday, 26 October 2012




Apa Itu Stress?

Dr. Hans Selye, pengasas kepada teori stress atau tekanan perasaan telah mendefinisikannya sebagai “suatu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya.” (Dr. David B. Posen (Lifestyle Counselor and Psychotherapist) ; Stress) ‘Bebanan’ ini boleh wujud di dalam bentuk ancaman, cabaran ataupun apa-apa perubahan di dalam hidup seseorang yang memerlukan pengubahsuaian yang selari dengannya. Ada tekanan perasaan yang baik lagi positif dan ianya dinamakan sebagai “eustress” dan ada pula yang buruk lagi negatif dan ia dinamakan sebagai “distress.” Tekanan yang positif amat kita perlukan di dalam hidup kita untuk menjadikan kita lebih berhati-hati, terangsang, kreatif dan lebih memberikan tumpuan dan perhatian kepada apa yang sedang kita lakukan. Sebenarnya banyak penemuan dan ciptaan oleh saintis-saintis telah berlaku di saat mereka tertekan dengan masalah-masalah tertentu. Contohnya, ketika Alexander Graham Bell sedang berusaha untuk membantu tunangnya, Mable Hubbard, yang telah hilang pendengarannya, beliau telah berjaya mencipta telefon yang telah meledakkan sistem telekomunikasi pada hari ini. (Stephen C. Phillips, The Ten Laws Of Success)


   
Apakah Yang Berlaku Ketika Stress?

Ketika stress, badan kita akan mengeluarkan satu hormon rangsangan yang bernama ‘adrenaline’ kedalam saluran darah kita. Hormon ini bersama-sama dengan beberapa hormon yang lain akan menyebabkan beberapa perubahan berlaku di dalam tubuh kita sebagai persiapan untuk melindungi kita. Di antara perubahan-perubahan itu ialah denyutan jantung bertambah laju dan tekanan darah akan meningkat (untuk mengepam lebihan darah kepada otak, otot dan jantung); gula, lemak dan kolesterol di dalam darah akan bertambah (untuk memberi lebihan tenaga kepada badan); pernafasan seseorang akan lebih laju (untuk menyalurkan lebihan oksigen yang diperlukan) dan begitulah seterusnya. Perubahan-perubahan ini berlaku secara tabii selari dengan keperluan tubuh kita ketika itu. Walaubagaimanapun, jika stress atau tekanan berpanjangan di dalam hidup kita dan kita pula tidak bijak untuk mengurusnya, ia akan bertukar menjadi ‘distress’ yang boleh menyebabkan penyakit-penyakit tertentu menimpa kita.


Apakah Tanda-Tanda / Gejala Umum Stress ?

Manifestasinya adalah berbagai-bagai dan ia boleh dikategorikan kepada empat bahagian :

Fizikal : Keletihan, pening kepala, susah tidur, sakit-sakit badan terutamanya di kawasan bahu dan belakang, degupan jantung yang kuat, sakit dada, meloya, ketar badan, sejuk tangan dan berpeluh.

Mental : Hilang tumpuan, mudah lupa, susah untuk membuat keputusan, tidak boleh berfikir, celaru pemikiran dan tidak boleh berjenaka.

Emosi : Risau, sentiasa bimbang, sugul, marah, mudah kecewa, sentiasa takut, sensitif, mudah hilang sabar dan panas baran.

Perangai : Keluh-kesah, lahir tabiat seperti menggigit kuku dan menggedik-gedikkan kaki, makan yang berlebihan, merokok, minum arak, menjerit-jerit, maki hamun, mengungkit-ungkit dan menyalahkan orang lain serta bertindak agresif.

Masalah Kesihatan Dan Penyakit-penyakit Yang Berpunca Dari Stress

Sakit jantung dan angin ahmar (stroke). Stress akan menambahkan asid lemak (fatty acids) di dalam darah dan bahan-bahan ini akhirnya akan bertukar menjadi lemak asli dan kolesterol yang akan menutupi saluran pembuluh darah. Stress juga akan meninggikan tekanan darah di samping memudahkan proses pembekuan darah. Semua ini merupakan perubahan-perubahan yang boleh menyebabkan serangan sakit jantung dan angin ahmar berlaku. (Health Education Associates, 1996; Stress and Heart Disease)

Insomnia atau susah tidurStress boleh menyebabkan masalah susah tidur dan susah tidur boleh menyebabkan stress, satu pusingan yang amat membinasakan. Di Amerika saja, jumlah mereka yang diserangi masalah ini menghampiri jumlah 36 hingga ke-62 juta orang. (Jeff Davidson, 1977; The Complete Idiot’s Guide To Managing Stress)

Kencing manis. Kesugulan dan tekanan hasil dari stress akan menambahkan kadar gula di dalam darah dan ini boleh membawa kepada penyakit kencing manis atau menerukkan keadaan pesakit yang telahpun mengidapnya. (Carol E. Watkins; Northern County Psychiatric Associates; 1998)

Gastrik dan ulser. Penyakit-penyakit pada sistem penghadaman seperti gastrik dan ulser juga mudah berlaku keatas seorang yang mengidap stress disebabkan oleh peningkatan pengeluaran asid ketika diserangi stress, terutamanya,  jika ia menyebabkan kemurungan dan kemarahan yang bersangatan. (Ballieux, R.E., 1984; Breakdown in human adaptation to stress)

Infeksi atau jangkitan kuman. Tekanan atau stress juga akan menyebabkan pengeluaran bahan-bahan ‘catecholamines’ seperti ‘epinephrine’ dan ‘norepinephrine’ ke dalam darah. Bahan-bahan ini berperanan melemahkan sistem pertahanan badan dan ini sekaligus akan memudahkan kuman-kuman untuk menyerang dan menyebabkan penyakit-penyakit. (Stress and the Immune System by Hannah Koenker, 1994) Kajian juga telah menunjukkan bahawa keadaan stress akan meningkatkan peratus kemungkinan seseorang itu dijangkiti kuman di sekitar 74 ke-90% dan dijangkiti virus selsema di sekitar 27 ke-47%. Stress juga akan memudahkan virus yang tidak aktif menjadi aktif semula. (Brosschot, J.F., Benschop, R.J., Godaert, G.L.R., Olff, M., De Smet, M., Heijnen, C.J., Ballieux, R.E., 1994; Influence of life stress on immunological reactivity to mild psychological stress: Psychosomatic Medicine)

Asthma. Ketika menghadapi stress, pesakit yang mengidap lelah akan mudah diserangi oleh penyakit ini disebabkan oleh sistem pertahanan badan yang menurun ketika itu, yang akan memudahkan reaksi-reaksi tertentu berlaku di dalam darah yang akhirnya menyebabkan lelah. (Elliott G.R., Eisdorfer C., 1982; Stress and Human Health)

Di samping itu, kajian telah menunjukkan bahawa stress juga adalah penyebab kepada beberapa penyakit yang lain seperti darah tinggi, sakit sendi (rheumatoid athritis), cirit-birit dan sakit usus (irritable bowel syndrome and ulcerative colitis), mandul dan alahan kulit. (Dr. Maria A. Smith, UTC School of Nursing; Advanced Pathophysiology: Stress & Disease, Chapter 9)

Allah berfirman:

"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: 'Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya-lah kami kembali.' Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk." (Al-Baqarah 2:155-157)


 sumber:dr danial.com

No comments:

Post a Comment